Ahad, 13 Mei 2018

IBU BAPA DERHAKA


IBU BAPA DERHAKA, ADA KE?
Alhamdulillahi rabbil alamin. Saya memanjatkan syukur kepada Allah SWT keranatelah mengizinkan saya untuk tulis satu bab yang bagi saya sangat berat untuk dibincangkan.

Tajuk yang saya pilih ialah:IBU BAPA DERHAKA
Ya. Mungkin aka nada ibu bapa yang tak setuju dengan tajuk ni, sebab dari perspektif pandangan mereka, ibu bapa tidak derhaka, tapi anak-anaklah yang derhaka.
Saya pun kadang-kadang ada juga terlepas cakap kasar pada mak ayah saya. Saya sedar perkara tu memang salah. Tapi, insya-Allah saya nak jadi yang lebih baik pada masa akan datang.
Berkenaan dengan ibu bapa derhaka, hal ini pernah diceritakan semasa zaman Khalifah Umar bin al-Khattab. Nanti saya akan ceritakan kisahnya.
Sebelum tu, saya nak bercerita tentang kedudukan ibu bapa dalam Islam.
Kita semua tahu yang, ibu bapa ni memang sangat tinggi kedudukannya dalam Islam. Bahkan kita selalu sebut syurga di bawah telapak kaki ibu.
Ya, memang benar. Berbuat baik kepada ibu bapa ni dituntut dalam Islam, dan Allah sebut banyak kali dalam al-Quran, antaranya dalam Surah Luqman ayat ke-14:
وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ  ١٤ [ لقمان:14-14]
14.  Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu. [Luqman:14]

Selain itu, Islam juga menegah kita tidak menengking ibu bapa. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat ke-23:
۞وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفّٖ وَلَا تَنۡهَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلٗا كَرِيمٗا  ٢٣ [ الإسراء:23-23]
23.  Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. [Al Isra":23]
Hukum menderhaka kepada ibu bapa ialah HARAM berdasarkan hadi Rasulullah SAW:
Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian derhaka kepada ibu bapa. (riwayat Muslim no. 593)
Dah dah. Jom kita baca tentang Kisah Bapa Derhaka pula.
KISAH BAPA DERHAKA
Kisah ni saya petik daripada Kitab Tanbihul Ghafilin oleh Abul-Laits As-Samarqandi.
Kisah ni berlaku sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.
Pada suatu hari, ada seorang bapa ni, datang jumpa Umar untuk mengadu. Dia mengadu yang anak dia ni selalu derhaka pada dia.
Lepas dia mengadu, Umar pun apa lagi. Umar marah pada budak tu, sebab derhaka. Umar bagitahu yang anak tak boleh menderhakai ibu bapa. Umar pun jelaskan hak ibu bapa pada budak tu.
Tapi, budak tu tak nak mengalah. Dia tanya pulak Umar:
“Amirul Mukminin, bukan ke anak pun ada hak atas ibu bapa?”
Lepas tu, Umar jawab ya.
“Ada tiga hak. Yang pertama memilih ibu yang baik, nama yang baik dan bapa perlu ajar anak-anak membaca al-Quran.”
Ha, lepas Umar cakap macam tu. Apa lagi, budak tu pun cakap:
“Demi Allah. Ayah aku ni, tak tunaikan hak tu ke atas aku. Mak aku ni hamba kulit hitam. Lepas tu tuan dia Majusi. Kemudian, nama aku Ju’al (nama seekor kumbang). Dan dia juga tak pernah ajar aku baca Quran walaupun satu patah perkataan.
Bila Umar dengar tu, terus dia pandang Si Ayah dan berkata:
“Engkau datang mengadu pada aku yang anak engkau derhaka pada engkau, tapi sebenarnya engkau yang derhaka pada dia!”

Tamat cerita.
Daripada kisah di atas, kita dapat fahami:-
1.     Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menunaikan hak kepada anak-anak.
2.     Bila anak-anak derhaka, jangan salahkan anak dulu, salahkan diri sendiri.
3.     Cubalah perbaiki diri sendiri. Insya-Allah anak-anak takkan derhaka.
Iti sahaja daripada kisah di atas. Tapi, kena ingat. Itu bukan perspektif pandangan saya mengenai penderhakaan. Jom baca lagi!
ADA LAGI
Ya. Memang dalam Islam, ada istilah “Ibu bapa derhaka”. Tapi, bagi saya, bukan 100% salah ibu bapa.
Ingatlah! Sejahat-jahat manapun ibu bapa kita ni, menjadi tanggungjawab kita untuk berbuat baik kepada ibu bapa. Tak kiralah ibu bapa kita perompak ke, penjenayah ke, tak solat ke, atau bukan Islam sekalipun. Perkara ni pernah disebut oleh Dato’ Ustaz Badli Shah Alaudin dalam rancangan Tazkirah Malam Jumaat.
Sedarlah, kita ni semua anak. Bila anak, buat cara anak. Haram untuk kita menengking ibu bapa.
Ya. Saya sedar, memang kadang-kadang ibu bapa ni boleh dikatakan annoying oleh remaja sekarang. Tapi, ketahuilah! Menghormati ibu bapa ni adalah satu tanggungjawab besar dalam diri kita.
Sama juga macam dalam kisah tadi. Sepatutnya anak tu hormat jugak pada ayah dia, walaupun ayah dia derhaka.
Memang susah. Kadang-kadang ibu bapa ni marah kita, tapi kita tak bersalahpun. Kita tak buat salah langsung. Tapi, sebenarnya marah ni adalah salah satu cara ibu bapa tunjukkan kasih sayang mereka.
Saya pun kadang-kadang ada juga rasa geram dengan mak saya bila kena marah, tapi slow-slow kalau tak dilayan perasaan tu, ia akan hilang dan perasaan kita akan jadi normal semula.
Satu lagi yang kita kena buat ialah, senantiasa minta maaf pada mak ayah, walaupun kita tak buat salah. Sebab apa? Sebab kalau ibu bapa tunjukkan kasih sayang dengan marah, kita tunjukkan kasih sayang kita dengan minta maaf.
Betul. Kalau tak percaya, tanya mak ayah anda. Kalau kita minta maaf, hati mereka akan jadi lembut. Hati mereka akan jadi baik. Lembut bagai sutera.
Ingatlah! Bila kita tengking mak ayah kita, kita kena sedar yang bukan semua orang ada mak ayah. Anak yatim ni lagi sedih, tak dapat rasa kasih sayang ibu bapa. Kenapa kita yang ada ibu bapa ni nak marah-marah ibu bapa?
Sedar tak, yang ibu bapa ni adalah satu tanggungjawab jugak, sebagaimana anak ialah tanggungjawab ibu bapa. Sama je. Kita dan ibu bapa mempunyai tangguungjawab sendiri.
Bila Allah panjangkan umur ibu bapa kita, itu bermakna Allah nak tengok kita, sama ada boleh berbuat baik, atau kita mencela ibu bapa kita. Itulah cara Allah uji kita.
PILIHAN
Satu lagi yang menjadi masalah dalam masyarakat kita ni ialah, bila pendapat ibu bapa dan anak-anak tak seiringan.
Pernah tak hadapi masalah ni?
Contohnya kalau mak ayah nak kita kahwin dengan A, tapi kita tak suka. Kita kahwin dengan B. Kan tak sama pendapat tu.
Bagi kita, pendapat kita lebih baik. Bagi ibu bapa pula, pendapat mereka lebih bernas dan berguna.
Jadi, kalau timbul isu macam ni, apa yang kita kenal buat?
Hanya mengikut kata hati, atau ikut kata ibu bapa?
Dengan satu cara yang saya tunjukkan ni, insya-Allah lepas ni anda akan dapat jalan penyelesaian dalam masalah harian anda. Hehehe.
Cara ni saya selalu guna:
Mula-mula, kosongkan minda anda.
Kemudian, tulis dalam minda anda pendapat anda dan ibu bapa.
Susun elok-elok dalam minda. Kemudian, daripada pendapat anda, listkan semua kebaikan yang anda dapat. Dan jangan lupa juga senaraikan keburukannya.
Kedua, buat benda sama dengan pendapat ibu bapa. Senaraikan kebaikan dan keburukan tu.
Bila dah selesai melakar dalam minda anda, tarik nafas panjang-panjang. Dan mulalah menilai.
Menilai bukan ikut hati ye. Sediakan al-Quran di sebelah. Kalau ada kitab hadis lagi baik.
Cari, sama ada kebaikan itu baik dari segi agama atau tidak, kalau tiada, fikir ikut logik.
Dan akhirnya, anda akan jumpa yang mana satu lebih baik buat anda.

Jadi, kalau anda mendapati pandangan ibu bapa anda lebih baik, pilihlah, dan beritahu mereka.
Tapi, seandainya pendapat anda lebih baik, beritahu mereka dengan sopan dan hormat.
Jangan lupa sertakan hujah anda. Dengan syarat, cakap dengan tenang dan mudah, jangan tinggikan suara anda. Cakap dengan baik.
Dan…
Insya-Allah masalah akan selesai.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, kita dah tahu mengenai kedudukan ibu bapa dalam Islam, mengenai ibu bapa derhaka, dan cara berbuat baik dengan ibu bapa.
            Jadi, saya menyeru kepada anda semua, yang juga anak dan juga ibu bapa, cubalah untuk memahami antara satu sama lain, dan elakkan pergaduhan sehingga meyebabkan keluarga berpecah belah. Don’t ever. Baik anak atau ibu bapa.
            Cubalah. Cubalah. Insya-Allah anda akan faham apa yang saya katakan ni.
            Saya pun dulu pernah jugak melalui zaman di mana, minda kita terset bahawa apa yang kita buat semua betul. Tapi bila saya fikir balik, benda tu tak betul pun. Hati tak tenang, lagi membuat ibu bapa tergores hati lagi ada.
            Kan? Jadi sekali lagi saya berharap agar Umat Islam bersatu balik. Mulakan di rumah, agar usaha mewujudkan suasana Islam dapat dijayakan dengan mudah.
            Amin!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengumuman Penting

Teman-teman, Terima kasih kerana sentiasa menyokong blog ini (walaupun tak ada orang). Namun, blog ini yang sebelum ini dikenali dengan ww...