(Petikan daripada Bab 4: Dakwah di Media Sosial buku Secebis Nota Buat Pendakwah)
Saya sangat suka mengulas topik ini kerana saya tahu bahawa dakwah di media sosial pada hari ini sudah menjadi satu keperluan, memandangkan kekosongan ceramah di masjid-masjid dan di surau-surau kebanyakannya tiada.
Bagi mereka yang tiada kemampuan untuk berdakwah dengan cara yang susah, mereka lebih suka dan senang berdakwah di media sosial. Baguslah. Kesedaran sudah ada. Tapi, bagaimana caranya?
CARA BERDAKWAH DI MEDIA SOSIAL
Media sosial yang saya maksudkan ialah yang biasanya digunakan oleh sebahagian besar orang. Contohnya ialah Instagram, Facebook, Telegram, YouTube dan sebagainya. Oleh sebab itu, saya akan bahagikan cara-cara yang akan saya senaraikan berdasarkan bahagian-bahagian utama iaitu Siaran (Posts), Komen (Comments), Kongsi (Share), Cerita (Story), dan Bual (Chat).
Kesemua bahagian ini saya pasti anda semua sudah biasa.
SIARAN (Posts)
Siaran biasanya kita panggil post sebab memang kita guna bahasa Inggeris. Biasalah kalau bandar kan.
Fitur post sekarang ini ada pada Facebook, Instagram dan Twitter. Jadi, bagaimana panduannya untuk berdakwah melalui medium post?
- Siarkan ayat al-Quran (mungkin klise tapi ada bagusnya juga sebab kita mendorong orang membaca al-Quran)
- Siarkan ayat motivasi (bagus untuk orang yang sedang bersedih atau “frustrated”. Mengikut pengalaman saya sendiri, memang biasanya orang yang bersedih akan layari media sosial untuk mengurangkan kesedihannya.)
- Berkongsikan pendapat tentang sesuatu isu penting (cara ini bagus juga kerana netizen memang suka baca “bawang-bawang” seperti ini. Bezanya, bawang-bawang ini amat berguna dalam bertukar-tukar pendapat dan ilmu. Sekaligus mengurangkan kadar aktiviti “membawang” di media sosial. Tetapi kita mesti ingat bahawa pendapat kita seharusnya selaras dengan ilmu dan fakta, dan bukannya ikut sedap hati dan perasaan je!)
- Siarkan video ceramah-ceramah yang tular (cara ini sememangnya sangat berkesan. Mengikut pengalaman orang di sekeliling saya, apabila ceramah di masjid yang kita siarkan di media sosial, maka secara tidak langsung orang semakin berminat untuk pergi ke masjid.)
KOMEN (Comment)
Bagi saya, bahagian komen inilah yang paling mustahak sekali. Bila saya amati, saya dapati mulut orang yang komen sebenarnya lebih dahsyat daripada apa yang disiarkan. Saya rasa anda mungkin boleh perhatikan sendiri, bagaimana pemilik akaun media sosial yang teruk dikecam dan dihina sehina-hinanya oleh netizen jika ada sesuatu isu timbul.
Berikut saya sertakan panduan dakwah melalui komen:
- Jangan sesekali menghamburkan cacian, kejian,makian dan carutan di mana pun dan kepada sesiapapun termasuklah yang bukan Islam.
- Komenlah perkara yang penting sahaja. Kalau untuk tegur, tegurlah dengan berhemah.
- Jangan mempermainkan nama Islam. Contohnya: “Patutlah orang tak nak pergi masjid. Sebab tok bilal ni azan tak sedap..”
- Ambil pendekatan yang bersopan santun. Elakkan “naik angin” tidak tentu pasal.
- Sedia menerima kritikan daripada orang lain.
KONGSI (Share)
Dalam kaedah kongsi-mengongsi ni pun ada banyak masalahnya. Saya ringkaskan dengan menunjukkan beberapa panduan sebelum kongsikan sesuatu isu:
Pastikan isu yang dikongsikan sahih dan tepat dan dikeluarkan daripada pihak yang sahih juga.
Jangan sesekali kongsikan perkara yang haram. Dalam hal ini, saya lihat satu senario apabila seseorang pengguna yang tidak suka video membuka aurat disiarkan di media sosial, tetapi dia sendiri kongsikan video itu!
Jangan sesekali kongsikan video yang sudah terang-terang ada masalah hak cipta. Contohnya filem terbaharu, atau semua perkara yang mempunyai tuan sebenar. Ingat, bukan senang nak jawab di hadapan Allah atas perbuatan menggalakkan pencurian yang kita lakukan!
Itu sahaja perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh kita semua. Sebenarnya, masih banyak perkara penting yang perlu dilakukan dan juga perlu dielakkan serta merta.
KESIMPULAN
Sekali lagi saya ingatkan bahawa, dakwah ini luas skopnya. Jangan fikir bahawa berdakwah ni hanya dengan menyebarkan ayat-ayat motivasi sahaja. Sebaliknya, menggunakan media sosial dengan berhemah juga salah satu cara berdakwah!Akhirnya, saya sekali lagi menegaskan, apa yang kita sebut, kita buat dan kita tulis pada hari ini, akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak tanpa pengecualian sedikitpun. Maka, fikir-fikirkanlah. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa kita dan mengurniakan kepada kita syurga tertinggi-Nya, syurga Firdaus!
Sebelum saya ulas cara yang betul berdakwah di media sosial, saya ingin membuat pengenalan sedikit berkaitan media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan